Kursus Pengauditan Perolehan Kerajaan
Akademi Audit Negara (AAN) telah menganjurkan Kursus Pengauditan Perolehan Kerajaan pada 15 dan 16 Januari 2025 bertempat di Auditorium Ahmad Noordin. Kursus ini dihadiri seramai 66 orang peserta daripada pelbagai sektor iaitu dari Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara (JAN), JAN Negeri, Unit Audit Dalam (UAD) Kementerian, UAD Jabatan serta UAD Agensi.
Objektif kursus ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan dasar serta peraturan perolehan Kerajaan. Peserta didedahkan dengan isu-isu perolehan melalui kajian kes. Melalui perbincangan yang diprogramkan, adalah diharapkan boleh memberi kesan serta meningkatkan kualiti pengauditan yang dijalankan.
Penceramah kursus adalah En. Abul Hisham bin Anuar, Cawangan Audit Dalam Kementerian Kesihatan Malaysia serta En. Mohd. Iskandar Amran, Unit Audit Dalam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Penceramah lain yang turut sama berkongsi ilmu di dalam kursus ini adalah pegawai Bahagian Perolehan MoF dan Bahagian Audit ICT.